“Cukuplah 7 Hari Menangis! Tanpa Suami Kita Tetap Mampu Terbang Tinggi!”– Joy Revfa, Pengasas Merve Cosmetics
SIAPA Joy Revfa Sofia ini? Dia bukanlah artis tapi namanya agak viral di laman sosial. Kisah rumah tangganya pernah viral satu masa dulu, impak daripada itu dia bangun mengesat air mata duka, membuka lembaran baru tanpa menoleh ke belakang lagi. Joy memilih bidang kecantikan kerana dia sendiri berkelulusan dalam bidang kecantikan dan pernah menjadi jurusolek profesional di Indonesia termasuk menyolekkan Bunga Cinta Lestari hingga ke Jerman.
Dikatakan Wanita Kampung yang Bodoh, Joy Bangkit…
Wanita berusia 29 tahun ini mula menubuhkan MERVE Group Holdings Berhad dan MERVE Skin Health Sdn Bhd pada Febuari 2015, selepas bercerai dengan suami.
“Kalau orang kata saya menubuhkan syarikat ini atas rasa kecewa dan marah, ya saya akuinya, malah saya menyahut cabaran sesetengah pihak yang berkata saya wanita kampung yang tak tahu apa-apa dan tak mungkin berjaya tanpa suami,” tegasnya yang mengambil masa hanya tujuh hari untuk menangis meratapi nasib.
Dengan wang simpanan yang tidak seberapa selepas dilepaskan suami, Joy mulakan perniagaan kecantikan ini dengan menumpang di premis ibunya, Akademi Kecantikan Artistik Diyana. Produk pertama yang dikeluarkan ialah suplemen Gorgeous Juice.
Kemudian, semakin berkembang dengan kehadiran produk kosmetik seperti Full Coverage Foundation, Highlighter & Contour, Perfect Matte Powder, Illusion Creamy Concealer, Fairy Tears Potion Serum dan akan datang gincu. Keistimewaan produk MERVE ini berbanding produk tempatan lainnya adalah menerusi 'packaging'nya. 'Packaging' yang berkonsepkan 'Fairytale' ala princess ini memang menjadi jiwa Joy dari dulu lagi. Semua reka bentuk dicipta sendiri.
Permulaan yang Menyakitkan Tapi Hasil Membanggakan
Terlalu banyak ujian yang dihadapinya di awal kemunculan produknya itu sehinggakan terdetik di hati Joy, “Adakah Tuhan tidak mahu saya meneruskan hasrat saya ini, dengan diberikan sebegitu banyak ujian untuk produk pertama ini?”
Menurutnya, dengan modal yang terhad dan pengalaman yang masih cetek, pelbagai perkara kena diselesaikan sendirian. Bermula dengan masalah bekalan tidak sampai tepat pada waktunya dek masalah stok botol dari kilang lain, kotak daripada pembekal lain, sedangkan produk itu sudah diwar-warkan kepada orang ramai. Malah, stokis pun sudah memberikan wang.
Disebabkan tidak mahu dikatakan menipu, Joy memberi kata putus kepada stokisnya jika mahu mengambil semua wang mereka, silalah. Tapi, syukur mereka percaya dan sanggup menunggu hingga stok tiba.
Menurut Joy juga, antara perkara yang dilakukan untuk memulihkan semangat yang hilang dan kembali positif, dia kerap ke kursus motivasi seperti yang dikendalikan Dr. Azizan. Katanya, menerusi kursus sebegitu dia dapat melupakan segala kegagalan dan bergaul dengan orang-orang yang positif sambil bertukar-tukar pengalaman dan ilmu.
Setelah MERVE menunjukkan perkembangan yang baik, Joy menerima banyak tawaran rakan kongsi yang mahu ‘pam duit’ dalam syarikatnya. Tidak kira daripada ceruk mana dan pangkat, ramai yang mula membuka mata terutamanya pelabur Cina sehinggakan ada seorang pemilik spa di Johor Bahru menghubunginya untuk menjadi rakan kongsi.
“Kebanyakan pelabur Cina yang menghubungi saya mereka tertarik dengan produk MERVE kerana 'packaging'nya yang nampak moden dan unik. Tapi, saya tidak sembarangan menerimanya kerana masih selesa dengan modal dan pengurusan secara tunggal.”
Mahu Menjadi Gula dihurung Semut
Setelah berjaya membuktikan dia bukanlah janda bodoh yang tidak tahu apa-apa, Joy kini bukan hanya mampu menyara hidup mewahnya sendiri, malah berkemampuan pula berkongsi rezeki dengan orang lain terutamanya ibu tunggal sepertinya.
Joy menyarankan para isteri yang ditinggalkan suami agar jangan hanya merintih dan bersedih. Teruskan kehidupan dan berdirilah sendiri. Kalau tidak mampu mengeluarkan produk sendiri, mulakan sebagai dropship atau stokis, belajar dengan orang yang lebih mahir tentang bagaimana menjual dan memasarkan produk.
“Saya mahu menjadi seperti gula yang dihurung semut untuk menikmati manisnya. Disebabkan itu, kami di MERVE tidak hanya memberi produk kepada stokis untuk dijual tetapi setiap hari Selasa kami kumpulkan mereka di sini untuk menjalani coaching tentang selok-belok perniagaan ini,” ujar beliau yang kini memiliki 60 stokis termasuk dari Brunei, Indonesia dan Singapura.