Ya, dia kecapi semua impian yang dia idamkan sejak kecil. Malah episod kehidupannya harus dijadikan inspirasi kepada kita semua. Jom selami perjalanan hebat seorang doktor yang bergelar jutawan...
Arwah Ayah Pinjam Duit Koperasi Untuk Bayar Yuran Universiti
Ayah saya seorang yang sangat percaya pada pendidikan. Dia tidak pernah berhenti suruh saya belajar. Ketika saya SPM, saya antara anak Melayu yang dapat Gred 1 cemerlang dalam keseluruhan mata pelajaran di SK Methodist (ACS) Ipoh. Bangga, kerana ketika itu sukar sebagai orang Melayu untuk menyerlah dalam apa juga hal akademik di sekolah. Rata-rata masyarakat Melayu di sana hidupnya susah. Saya harus bangkit dari kelompok hidup susah dan membuktikan bahawa kesusahan bukan penghalang untuk berjaya.Saya berazam untuk sambung pelajaran di peringkat universiti. Pada mulanya segala proses berlalu dengan begitu sukar. Kami sekeluarga tidak mampu untuk tampung kos sara pembelajaran ketika itu kerana keluarga saya bukanlah daripada keluarga yang senang.
Jasa Arwah Ayah dan Bantuan MARA yang Amat Bermakna
Saya harus kenang jasa arwah ayah saya yang berusaha gigih mencari yang terbaik untuk anak-anaknya. Ayah saya membuat pinjaman di salah sebuah koperasi di Ipoh untuk pembiayaan universiti saya. Dengan yuran RM200 ketika itu bukanlah satu jumlah yang kecil. Syukur juga dengan biasiswa dari MARA sebanyak RM400 sebulan ketika itu sangat membantu kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa.Selepas habis Diploma, saya bekerja sebagai seorang wartawan di meja jenayah. Siapa sangka saya kini berdiri di tempat yang mungkin saya sendiri tidak pernah terfikir ia mampu jadi kenyataan. Daripada seorang wartawan cabuk menjadi seorang ahli perniagaan (ketawa).
Seronok juga bergelar wartawan, dari meja jenayah banyak yang saya pelajari. Tetapi setiap kali bangun daripada tidur saya selalu fikir, “Sampai bila aku ingin selesa dengan pendapatan yang sebegini?”
Pengalaman di meja jenayah buat saya dahagakan pendidikan yang lebih mendalam daripada bidang lain. Saya nekad untuk sambung belajar dan menggapai impian saya sebagai seorang doktor. Saya tidak pernah menyesal ketika mengambil keputusan untuk sambung belajar kerana ia banyak mengubah cara hidup dan pemikiran saya.
Saya Korbankan Masa Untuk Berjaya
Terlalu banyak saya korbankan ketika masa muda saya. Untuk capai apa yang saya ada kini, saya perlu lalui fasa kehidupan yang penuh tragis. Jika remaja lain asyik sibuk bersosial dengan sahabat seusia, mencuba banyak perkara ketika muda, saya pula banyak luangkan masa di depan buku dan suka bersendiri.Ketika saya berjuang untuk mencapai Ijazah Kedoktoran, saya sudah pun bertunang. Oleh kerana terlalu fokus dalam pelajaran dan tiada masa untuk ber'dating' mahupun keluar bersama, tunang saya tinggalkan saya.
Mungkin dia mahukan kebahagiaan yang saya tidak mampu berikan ketika itu. Ya, itulah yang dikatakan tiada jodoh. Saya sendiri reda. Mungkin Tuhan beri yang lebih baik untuk saya suatu hari nanti. Saya juga manusia ingin rasa dicintai dan mencintai, tetapi rasa itu perlu saya korbankan kerana aturan Tuhan itu lebih baik daripada segalanya. Sedih, tetapi inilah yang harus saya telan.
Episod cinta tak kesampaian itu tak pernah patahkan semangat saya. Saya harus pandang ke hadapan. Setiap kegagalan yang saya alami dalam hidup buat saya makin kuat dan bertambah kuat untuk tempuhi hari mendatang. Inilah seorang manusia bernama Dr. Amin Dato' Abdullah, hatinya kental dan penuh keegoan untuk berjaya.
‘Bila kita tinggi mengapai awan, jangan lupa rumput di bumi. Bila padi dah berbuah, lalang tidak berguna lagi...”
Alhamdulillah, tahun ini saja saya mampu raih RM15 juta keuntungan syarikat JenamaSendiri.com. Ya, saya lebih terbuka untuk berkongsi. Untuk tahun hadapan kenaikan 30% juga dilihat positif.
Saya yakin ramai juga jutawan yang turut lahir bersama dengan kami dalam penghasilan produk berkualiti yang kami hasilkan. Impian saya untuk tahun 2017 saya target untuk tersenarai di Bursa Saham Negara bersaing dengan syarikat antarabangsa yang lain.
Saya Menjual impian Orang
Berkelana di negara orang ialah hobi saya. Banyak negara yang saya teroka, dari situlah saya belajar banyak benda. Cerita bermula apabila saya pergi bercuti di Eropah, saya terjumpa dengan sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan mencipta produk untuk dipasarkan. Semua jenama besar seperti haruman, produk penjagaan kulit dan solekan dikilangkan di tempat tersebut.Istimewanya,kedai ini menawarkan sekali perkhidmatan pemasaran. Tiada lagi perniagaan seperti ini di Malaysia ketika itu. Saya berjumpa dengan CEO syarikat tersebut secara tidak sengaja. Dengan hanya satu panggilan kami disatukan di sebuah kafe yang terletak di Venice, Itali. Ketika pertemuan pertama itu, siapa sangka dia sangat terbuka untuk berkongsi tentang bisnes dan mentaliti mereka yang ingin cipta jenama sendiri.
“Kerana mereka ingin hidup senang. Saya yakin ramai yang ingin jadi kaya dalam industri penghasilan produk. Mereka lihat lubuk emas yang bersinar-sinar, jangan pancing mereka untuk terima perkhidmatan mahupun produk berkualiti kamu. Sebaliknya jual impian mereka."
Orang Melayu memiliki semangat berniaga yang tinggi tetapi sayang mereka kurang ilmu tentang pemasaran. Dari situ saya saya lihat satu pembaziran yang mengundang kepada kemunduran. Saya sediakan dari A hingga Z untuk berniaga. Daripada penghasilan produk di kilang hingga ke proses pemasaran dengan satu pakej harga. Saya bantu mereka, saya sediakan platform ini agar peniaga Melayu khususnya tak terus hanyut dibayangi kekayaan yang belum pasti menjadi.