“Saya Bukan Pelawak. Saya Pelakon Serius yang Selalu diberikan Watak Jahat”— Ebby Yus


Perkembangan bisnes restoran? 
Perniagaan itu sudah lima tahun kami usahakan. Bukan saya usahakan seorang, tetapi bersama-sama beberapa rakan kongsi. Sekarang, sudah ada tiga cawangan, di Shah Alam, Prima Seri Gombak dan Wangsa Melawati.

Restoran ini menyediakan makanan Cina Muslim, kerana seorang rakan kongsi adalah Cina Muslim. Namanya Adam, bersempena namanya, kami namakan restoran ini Restoran Adam Lai.


Boleh kongsi pengalaman Ebby Yus dalam industri hiburan?
Saya bermula pada hujung 1983, iaitu selepas tamat persekolahan. Sebenarnya saya bermula dengan mengambil asas tarian di Kompleks Budaya Negara (sekarang sudah jadi Aswara). Di situlah lahir pelakon seperti Eman Manan dan Zulkifli Zain. Di sana saya mengambil bidang asas tarian, kemudian berjinak- jinak dengan bangsawan. Antaranya, bangsawan Bintang Timur dan Gerbang, bersama-sama Rahman B, Rahim B, Ahmad B dan Rohani B.

Selain main bangsawan, saya bergiat dalam Gabungan Teater Nasional di bawah Johari Yusuf. Banyaklah saya berteater, selain dapat main drama TV. Ketika itu TV swasta tiada, jadi kami banyak mengharap kepada Panggung RTM dan Filem Negara. Tidak dinafikan, memang susah ketika itu.

Bagaimana Ebby boleh membawakan watak komedi dengan berkesan? 
Di luar, Ebby Yus bagaimana orangnya? Saya bukan komedian. Saya pelakon yang membawakan watak komedi. Tak tahu macam mana saya nak cakap. Saya berlawak secara jujur. Saya lepaskan dialog begitu sahaja.

Saya pun tidak tahu bahawa yang saya bawa itu boleh membuatkan orang gelak. Kadangkala saya sendiri tidak dapat kesan hal itu. Apabila orang gelak, tahulah saya, “Oh, boleh gelak...!”


Mungkin ada orang kata, tengok muka Ebby Yus pun boleh gelak?
Suatu ketika dahulu, orang tengok muka saya dengan rasa menyampah, ketika saya selalu melakonkan watak-watak jahat dan serius. Orang kata, tengok muka pun sudah nampak jahat. Tetapi sekarang, sudah tukar, tengok muka sudah boleh gelak. Entahlah, saya sendiri pun tak tahu!

Bagaimana Ebby Yus mencari idea untuk pelbagaikan lawak jenaka itu? 
Komedi ini banyak cabangnya. Untuk sketsa, kita boleh cakap sahaja berdasarkan sketsa itu. Untuk sitkom seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2+1 atau Simpang 3 (yang pernah saya berlakon dulu), kami berpandukan skrip, pegang karakter, pegang cerita, tapi situasi yang menyebabkan orang ketawa. Untuk itu, ideanya kita cari dengan cara lain. Tapi untuk komedi spontan seperti Maharaja Lawak, cara mencari ideanya, lain pula. Apa pun pada saya, kena cari cerita.

Ada cerita, baru cari punch line. Punch line datang apabila cerita ada. Itu pendapat saya. Pada orang lain, mungkin lain caranya. Untuk dapat idea, perlu banyak membaca, tengok banyak cerita dan banyak bergaul. Pergaulan amat penting.

Melalui pergaulan kadangkala kita dapat cerita. Kadangkala itu cerita benar tetapi kita jadikannya komedi, kita tukar watak, nama, tempat, lalu jadikan cerita. Selain membaca dan menonton TV, kita kena banyak bergaul dengan orang.


Mengapa Ebby Yus sendiri tak pilih untuk mencabar diri, masuk bertanding? 
Seperti yang saya katakan, saya bukan seorang komedian. Saya seorang pelakon yang membawa watak komedi. Jadi sudah tentu saya tak boleh bertanding. Kedua, saya fikir, apa yang saya mahu pertandingkan lagi?

Inilah Ebby Yus, inilah saya. Saya tak mahu jadi ‘Ebby Yus The Power... Ebby Yus The Great’. Ebby Yus, Ebby Yuslah, tanpa masuk bertanding, saya sudah bersyukur. Saya mahu kekalkan status begitu, di atas tidak, di bawah juga tidak.


Banyak berguru daripada Abon? 
Ya, banyak. Kadangkala ideanya pun saya ambil. Itulah pendapat saya, sejujur dan seikhlasnya. Saya tak nampak lagi pelawak yang sehebat dia.


Abon antara idola Ebby Yus? 
Ya, dalam dunia lakonan mungkin kami bermula bersama-sama, tetapi dalam berlawak, dia mula dahulu, sama seperti Mat Over dan Allahyarham Ali Mamak. Saya lebih terkemudian. Abonlah yang bawa saya ke pentas.

Saya masih ingat pengalaman pertama saya di Kuala Selangor dalam majlis anjuran pusat kesihatan kerajaan. Saya menggigil tetapi dia banyak membantu. Mat Over, Ali Mamak dan Abon, inilah tiga orang yang banyak berjasa pada saya.