Rumahtangga yang kita bina ini, bukanlah seputar hidup kita dan si dia semata-mata. Ada cara dan seninya untuk mengurus bahtera hidup yang telah anda layarkan itu.
PERKAHWINAN itu, sekali dengar bunyinya indah. Namun, perkahwinan bukan sekadar baju kahwin dan pelamin anganku. Ia tentang kehidupan dua hati, dua jasad bersatu dalam satu ikatan dan mahligai. Rumahtangga; bukan lagi tentang suami dan isteri, ia tentang orang di sekeliling juga.
HAL 1 KEWANGAN
Bagi isteri, “Duit suami duit saya, duit saya duit saya.” Dan, fakta itu suami perlu akui dan jangan persoalkan. Keseluruhan duit suami perlu dihalakan kepada keperluan isteri dan duit isteri adalah untuk kegunaan isteri. Terpulang kepada isteri jika redha untuk membantu.HAL 2 INSURANS
Orang baru berkahwin memang banyak pakai duit untuk perkara yang baru hendak ‘dibina’. Ada pasangan yang terlalu agresif sehingga tersilap menghitung bajet dan tersasar apabila saat-saat kecemasan. Melaburlah dengan membeli insurans yang diperlukan seperti insurans kesihatan. Perbelanjaan kesihatan zaman sekarang bukan murah ya!HAL 3 RUMAH
Jangan habiskan semua duit untuk belanja kahwin dan bercuti semata-mata. Tinggalkan sedikit untuk buat deposit rumah sama ada menyewa atau beli. Apabila menyewa, carilah yang mampu untuk dibayar setiap bulan. Tinggal cuma berdua, tak perlu yang besar-besar. Duit yang ada boleh disimpan untuk membeli rumah sendiri nanti.
HAL 4 LOKASI RUMAH
Antara faktor yang perlu diambil kira apabila mahu menyewa atau membeli rumah baru, pasangan perlu ambil kira jarak antara tempat kerja masing-masing dengan rumah itu. Ada pasangan teruja mahu rumah besar dengan kos rendah, lantas memilih lokasi pinggir bandar yang jauh dari pejabat dan kemudahan lainnya. Perkara ini membazirkan masa dan wang. Sebaiknya, biarlah lokasi rumah di tengah-tengah antara pejabat suami dan isteri. Kalau tiada pilihan, pilihlah yang berdekatan pejabat isteri untuk memudahkannya.
HAL 5 DEKORASI
Nah, inilah masa paling mengujakan untuk menghias rumah, apa lagi belum punya anak kecil. Timbang-tara konsep yang dimahukan antara kedua-duanya agar masing-masing berpuas hati dan mencapai misi ‘rumahku, syurgaku’. Cat sendiri rumah antara aktiviti paling sweet buat pasangan baru kahwin. Percayalah!
HAL 6 PERABOT RUMAH
Antara kelebihan apabila mula tinggal sendiri dan bukan menumpang
rumah mak ayah, kamu boleh mula membeli sedikit demi sedikit perabot dan perkakas rumah. Bukan mudah mahu memenuhkan rumah, bukan? Daripada rumah sewa yang kecil hinggalah ke rumah sendiri yang lebih besar nanti, sudah tersedia semuanya. Tidaklah terasa sangat mahu membeli barang rumah sekaligus nanti. Ini juga menjimatkan kos untuk jangka panjang.
HAL 7 KERETA
Kalau dulu seorang pakai satu kereta, mungkin jika mahu berjimat boleh sahaja digunakan satu kereta untuk ke pejabat (jika laluan ke pejabat munasabah). Atau, suami menggunakan motor dan isteri berkereta. Semuanya demi penjimatan masa depan! Dan ia bagus juga untuk eratkan hubungan kerana banyak yang boleh dibualkan ketika berdua di dalam kereta.
HAL 8 JADUAL/MASA
Hidup berdua tidak boleh lagi buat aktiviti seperti zaman bujang. Pulang ke rumah sesuka hati. Jangan jadikan rumah seperti hotel semata-mata, sedangkan masa banyak dihabiskan di luar rumah, melepak dengan kawan-kawan. Tetapkan satu waktu setiap hari bekerja (contoh, selepas Maghrib), suami dan isteri mesti sudah ada di rumah.
HAL 9 KERJAYA
Fahami kerjaya pasangan sebelum berkahwin lagi supaya kamu tidak tertipu dan mengharapkan sesuatu yang tidak nyata. Ada tuntutan kerja pasangan yang memakan masa hingga larut malam/awal pagi, ada pula yang bosnya mengganggu sampai ke rumah. Jadi, apabila berkahwin dengan pasangan, ‘nikahi’ dulu cara kerjanya.
HAL 10 BAKAL ANAK
Selesai urusan suami isteri, bersedia pula menunggu kemunculan orang ketiga yakni anak sendiri. Terutamanya, kalau isteri bunting pelamin. Dan, perlu ingat zaman sekarang membesarkan anak bukan setakat dua tiga puluh ringgit. Perlu ada kos untuk perbelanjaan bersalin, susu, lampin, menghantar anak ke taska, insurans, pendidikan dan sebagainya.
HAL 11 AKAUN BERSAMA
Saya amat suka kalau antara suami dan isteri tidak menyimpan rahsia perihal duit gaji kerana apabila berkongsi hidup, maka kita harus berkongsi banyak ‘benda’. Jangan sorok-sorokkan setiap duit yang masuk dan keluar supaya pasangan tahu sebesar mana ekonomi rumahtangganya. Kalau banyak, boleh disimpan, kalau sedikit, ada perbelanjaan yang boleh dikurangkan.
HAL 12 MAKAN
Ada isteri sentap apabila suami selalu memuji air tangan ibunya. Isteri perlu rajin mengkaji ‘lidah’ suami. Ketahui apa yang suami suka dan tidak. Sesekali jenguk dapur untuk memasak kerana kata orang mahu pikat hati suami, tawan dulu perutnya. Air tangan isteri itu ada azimat yang tiada pada wanita lain. Waktu makan juga antara momen terbaik mengeratkan hubungan suami dan isteri. Mengapa tidak makan malam diperuntukkan untuk bersama pasangan kita dan bukan lagi sendiri-sendiri.
HAL 13 HOBI
Ketahui hobi dan minat pasangan. Jangan syok sendiri terhadap sesuatu yang kamu suka sahaja sedangkan hobi pasangan tidak pernah dipeduli. Tidak perlu pun turut suka apa yang dia suka, cukup memberi ruang untuk pasangan melunaskan hobinya tetapi jangan pula berlebih-lebih.
HAL 14 MENTUA
Oh, inilah isu paling besar dalam pasangan baru kahwin kerana individu inilah paling rapat nanti. Kalau boleh, elakkan tinggal sebumbung dengan mentua melainkan punya tanggungjawab menjaga orang tua yang sudah uzur. Belajarlah berdikari untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan isteri yang sebenar. Apa pun rentak mentua, jangan derhaka. Banyakkan bersabar dan mengalah. Mereka umpama ibu bapa sendiri juga.
HAL 15 IPAR DUAI
Apabila kita perlu taat kepada ibu dan bapa mentua, tidak pula bermakna kita perlu ‘taat’ juga kepada ipar-duai. Maksudnya, jagalah hubungan baik sesama ipar-duai tetapi jangan sampai mereka ‘mengepung’ rumahtangga kita. Berlaku begitu banyak kes suami isteri bergaduh kerana orang ketiga yakni ipar-duai yang suka menjadi duri dalam daging. Buat baik seadanya tetapi adakan juga kubu pertahanan. Suami atau isteri perlu saling bertoleransi dan sedia mendengar apa jua masalah pasangan terhadap keluarga dan perjelaskan. Jangan biarkan pasangan memendam perasaan.