TAMPIN: Bunyi suara seorang kanak-kanak menangis dengan kuat dari sebuah
rumah papan di Kampung Parit Buloh, di sini, telah terungkai apabila
seorang kanak-kanak berumur tiga tahun telah berjaya ditemui dikurung
dalam rumah berkenaan seorang diri, lapor Sinar Harian.
Dia ditemui dalam sebuah bilik dalam yang amat kotor tanpa sebarang pakaian bersendirian di dalam rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Hamazah Ab Razak berkata,
kira-kira jam 12.45 tengah malam, polis menerima aduan daripada penduduk
yang terdengar kanak-kanak menangis di dalam rumah dalam keadaan gelap
dan berkunci.
Selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung, pihak polis segera ke lokasi
dimaksudkan mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga
tahun yang tinggal bersendirian.
“Mangsa telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tampin dan
diberikan makanan serta minuman oleh anggota balai Air Kuning Selatan."
"Berdasarkan siasatan ibu mangsa telah meninggalkan anak bongsunya itu secara bersendirian sejak jam 6 petang lagi."
“Siasatan awal mendapati ibu mangsa berusia 29 tahun menyembunyikan
kelahiran anak bongsunya itu daripada orang ramai termasuklah
keluarganya sendiri. Bahkan, suami keduanya juga tidak mengetahui itu
adalah anak wanita berusia 29 tahun berkenaan kerana, si isteri
menyatakan menjaga anak kawannya,” katanya.
Dalam kejadian itu, Hamazah memaklumkan yang ibu kanak-kanak berkenaan
telah meninggalkan anaknya seorang diri dan hanya membawa pulang dua
anak lelakinya hasil perkahwinan pertama ke kampung yang terletak di
Jelai kerana ahli keluarga tidak mengetahui kewujudan anak bongsunya
itu.
Menurutnya, wanita berkenaan pulang ke kampung bagi menjaga ibunya yang
sakit, selain menguruskan ibu tirinya yang baru sahaja terbabit
kemalangan.
“Tiada kecederaan luaran pada kanak-kanak berkenaan. Bagaimanapun,
kita memandang berat kes ini dan menyeru masyarakat peka dan semampu
mungkin dapat mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali.
“Sikap suspek dipuji atas komitmen menjaga ibu-ibunya yang sakit, namun undang-undang harus dipatuhi,'' Tegas beliau.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Kanak-kanak. Pihak Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dimaklumkan untuk tindakan lanjut.