Rumahtangga yang kita bina ini, bukanlah seputar hidup kita dan si dia
semata-mata. Ada cara dan seninya untuk mengurus bahtera hidup yang
telah anda layarkan itu.
PERKAHWINAN itu, sekali dengar bunyinya indah. Namun, perkahwinan
bukan sekadar baju kahwin dan pelamin anganku. Ia tentang kehidupan dua
hati, dua jasad bersatu dalam satu ikatan dan mahligai. Rumahtangga;
bukan lagi tentang suami dan isteri, ia tentang orang di sekeliling
juga.
HAL 1 KEWANGAN
Bagi isteri, “Duit suami duit saya,
duit saya duit saya.” Dan, fakta itu suami perlu akui dan jangan
persoalkan. Keseluruhan duit suami perlu dihalakan kepada keperluan
isteri dan duit isteri adalah untuk kegunaan isteri. Terpulang kepada
isteri jika redha untuk membantu.
HAL 2 INSURANS
Orang baru berkahwin memang banyak
pakai duit untuk perkara yang baru hendak ‘dibina’. Ada pasangan yang
terlalu agresif sehingga tersilap menghitung bajet
dan tersasar apabila saat-saat kecemasan. Melaburlah dengan membeli
insurans yang diperlukan seperti insurans kesihatan. Perbelanjaan
kesihatan zaman sekarang bukan murah ya!
HAL 3 RUMAH
Jangan habiskan semua duit untuk belanja kahwin dan bercuti
semata-mata. Tinggalkan sedikit untuk buat deposit rumah sama ada
menyewa atau beli. Apabila menyewa, carilah yang mampu untuk dibayar
setiap bulan. Tinggal cuma berdua, tak perlu yang besar-besar. Duit yang
ada boleh disimpan untuk membeli rumah sendiri nanti.
HAL 4 LOKASI RUMAH
Antara faktor yang perlu diambil kira apabila mahu menyewa atau
membeli rumah baru, pasangan perlu ambil kira jarak antara tempat kerja
masing-masing dengan rumah itu. Ada pasangan teruja mahu rumah besar
dengan kos rendah, lantas memilih lokasi pinggir bandar yang jauh dari
pejabat dan kemudahan lainnya. Perkara ini membazirkan masa dan wang.
Sebaiknya, biarlah lokasi rumah di tengah-tengah antara pejabat suami
dan isteri. Kalau tiada pilihan, pilihlah yang berdekatan pejabat isteri
untuk memudahkannya.
HAL 5 DEKORASI
Nah, inilah masa paling mengujakan untuk menghias rumah, apa lagi
belum punya anak kecil. Timbang-tara konsep yang dimahukan antara
kedua-duanya agar masing-masing berpuas hati dan mencapai misi ‘rumahku,
syurgaku’. Cat sendiri rumah antara aktiviti paling sweet buat pasangan
baru kahwin. Percayalah!
HAL 6 PERABOT RUMAH
Antara kelebihan apabila mula tinggal sendiri dan bukan menumpang
rumah mak ayah, kamu boleh mula membeli sedikit demi sedikit perabot dan
perkakas rumah. Bukan mudah mahu memenuhkan rumah, bukan? Daripada
rumah sewa yang kecil hinggalah ke rumah sendiri yang lebih besar nanti,
sudah tersedia semuanya. Tidaklah terasa sangat mahu membeli barang
rumah sekaligus nanti. Ini juga menjimatkan kos untuk jangka panjang.
HAL 7 KERETA
Kalau dulu seorang pakai satu kereta, mungkin jika mahu berjimat
boleh sahaja digunakan satu kereta untuk ke pejabat (jika laluan ke
pejabat munasabah). Atau, suami menggunakan motor dan isteri berkereta.
Semuanya demi penjimatan masa depan! Dan ia bagus juga untuk eratkan
hubungan kerana banyak yang boleh dibualkan ketika berdua di dalam
kereta.
HAL 8 JADUAL/MASA
Hidup berdua tidak boleh lagi buat aktiviti seperti zaman bujang.
Pulang ke rumah sesuka hati. Jangan jadikan rumah seperti hotel
semata-mata, sedangkan masa banyak dihabiskan di luar rumah, melepak
dengan kawan-kawan. Tetapkan satu waktu setiap hari bekerja (contoh,
selepas Maghrib), suami dan isteri mesti sudah ada di rumah.
HAL 9 KERJAYA
Fahami kerjaya pasangan sebelum berkahwin lagi supaya kamu tidak
tertipu dan mengharapkan sesuatu yang tidak nyata. Ada tuntutan kerja
pasangan yang memakan masa hingga larut malam/awal pagi, ada pula yang
bosnya mengganggu sampai ke rumah. Jadi, apabila berkahwin dengan
pasangan, ‘nikahi’ dulu cara kerjanya.
HAL 10 BAKAL ANAK
Selesai urusan suami isteri, bersedia pula menunggu kemunculan orang
ketiga yakni anak sendiri. Terutamanya, kalau isteri bunting pelamin.
Dan, perlu ingat zaman sekarang membesarkan anak bukan setakat dua tiga
puluh ringgit. Perlu ada kos untuk perbelanjaan bersalin, susu, lampin,
menghantar anak ke taska, insurans, pendidikan dan sebagainya.
HAL 11 AKAUN BERSAMA
Saya amat suka kalau antara suami dan isteri tidak menyimpan rahsia
perihal duit gaji kerana apabila berkongsi hidup, maka kita harus
berkongsi banyak ‘benda’. Jangan sorok-sorokkan setiap duit yang masuk
dan keluar supaya pasangan tahu sebesar mana ekonomi rumahtangganya.
Kalau banyak, boleh disimpan, kalau sedikit, ada perbelanjaan yang boleh
dikurangkan.
HAL 12 MAKAN
Ada isteri sentap apabila suami selalu memuji air tangan ibunya.
Isteri perlu rajin mengkaji ‘lidah’ suami. Ketahui apa yang suami suka
dan tidak. Sesekali jenguk dapur untuk memasak kerana kata orang mahu
pikat hati suami, tawan dulu perutnya. Air tangan isteri itu ada azimat
yang tiada pada wanita lain. Waktu makan juga antara momen terbaik
mengeratkan hubungan suami dan isteri. Mengapa tidak makan malam
diperuntukkan untuk bersama pasangan kita dan bukan lagi
sendiri-sendiri.
HAL 13 HOBI
Ketahui hobi dan minat pasangan. Jangan syok sendiri terhadap sesuatu
yang kamu suka sahaja sedangkan hobi pasangan tidak pernah dipeduli.
Tidak perlu pun turut suka apa yang dia suka, cukup memberi ruang untuk
pasangan melunaskan hobinya tetapi jangan pula berlebih-lebih.
HAL 14 MENTUA
Oh, inilah isu paling besar dalam pasangan baru kahwin kerana
individu inilah paling rapat nanti. Kalau boleh, elakkan tinggal
sebumbung dengan mentua melainkan punya tanggungjawab menjaga orang tua
yang sudah uzur. Belajarlah berdikari untuk menggalas tanggungjawab
sebagai suami dan isteri yang sebenar. Apa pun rentak mentua, jangan
derhaka. Banyakkan bersabar dan mengalah. Mereka umpama ibu bapa sendiri
juga.
HAL 15 IPAR DUAI
Apabila kita perlu taat kepada ibu dan bapa mentua, tidak pula
bermakna kita perlu ‘taat’ juga kepada ipar-duai. Maksudnya, jagalah
hubungan baik sesama ipar-duai tetapi jangan sampai mereka ‘mengepung’
rumahtangga kita. Berlaku begitu banyak kes suami isteri bergaduh kerana
orang ketiga yakni ipar-duai yang suka menjadi duri dalam daging. Buat
baik seadanya tetapi adakan juga kubu pertahanan. Suami atau isteri
perlu saling bertoleransi dan sedia mendengar apa jua masalah pasangan
terhadap keluarga dan perjelaskan. Jangan biarkan pasangan memendam
perasaan.