KECOH di laman Twitter apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) dilihat menegur sebuah portal antarabangsa berkenaan sebuah artikel yang disiarkan berjudul ‘Why Singapore is the world’s greatest city for the food’.
Menerusi posting yang dimuat naik itu, KJ mendakwa kebanyakan apa yang ditulis dalam artikel itu adalah makanan Malaysia.
Dalam artikel itu, penulis menceritakan pengalaman seorang chef Perancis bernama Claude Bosi yang mencuba makanan Singapura ketika melawat negara itu baru-baru ini,
Bagaimanapun, beberapa makanan yang disebut di dalam artikel itu seperti nasi ayam, putu piring, laksa, dan karipap adalah makanan Malaysia.
Atas dasar itu, barangkali KJ cuba mempersoalkan tindakan penulis yang mempromosikan negara Kota Singa itu dengan mendakwa kebanyakan makanan yang ditulis itu semuanya adalah makanan dari Malaysia.
Mungkin penulis itu tidak mengetahui fakta tersebut memandangkan ianya hanya berkisarkan kepada pengalaman chef terbabit yang baharu sahaja kembali dari kembara di negara jiran itu.
Namun, tidaklah pelik sekiranya berlaku kecelaruan identiti makanan kerana Malaysia dan Singapura merupakan jiran tetangga yang begitu dekat dan sudah ramai rakyat negara ini berhijrah ke sana.
Untuk makluman anda juga, empat makanan itu juga tersenarai dalam 100 makanan warisan kuliner kekayaan Malaysia yang boleh didapati dalam laman Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan.