10 Pembunuh Bersiri Paling Kejam dan Sadis dalam Sejarah Dunia
Kita sering berasa jijik apabila mengetahui perlakuan pembunuh sadis seperti Mona tetapi pada masa yang sama, kita masih tertarik untuk mengetahui apa niat sebenar mereka mahu menjadi "Tuhan" untuk mencabut nyawa orang lain.
Mona menjadi popular selepas membunuh hanya seorang ahli politik yang berpengaruh. Namun, 10 pembunuh bersiri ini telah membunuh puluhan dan ratusan orang, menjadikan mereka pembunuh bersiri paling jahat sepanjang abad ke-20:
#10 Ted Bundy
Pada tahun 70-an, Ted Bundy terkenal sebagai salah seorang pembunuh paling kejam di dunia selepas menculik dan membunuh ramai wanita muda dan gadis remaja. Dia dengan berani bertegur sapa dengan wanita-wanita ini di tempat awam yang terbuka, namun akan membawa mereka ke tempat yang sunyi sebelum membuat serangan seksual dan membunuh mereka dengan kejam.
Ted telah memancung leher sekurang-kurangnya 12 mangsa dan menyimpan kepala mangsa di dalam rumah apartmentnya sebagai trofi. Dia telah berjaya diberkas namun berjaya melarikan diri dari pihak polis dan mahkamah sebanyak dua kali. Semasa melarikan diri, dia sempat melakukan tiga lagi pembunuhan!
Walau bagaimanapun, Ted akhirnya ditangkap dan disabitkan kesalahan pembunuhan berganda yang membawa hukuman mati. Dia telah dihukum mati menggunakan kerusi elektrik pada tahun 1989.
#9 Charles Ng dan Leonard Lake
Charles Ng dan rakan subahatnya, Leonard Lake telah merogol, menyeksa dan membunuh antara 11 hingga 25 orang mangsa di sebuah ladang kepunyaan Leonard di California, Amerika Syarikat. Jenayah mereka diketahui umum pada tahun 1985 apabila Leonard membunuh diri selepas ditangkap dan Ng ditangkap ketika mencuri di kedai perkakasan. Polis kemudiannya telah memeriksa ladang Leonard dan menemui tinggalan anggota badan manusia.
Ng membuat percubaan melarikan diri ke Kanada namun dia telah diserah balik kepada Amerika Syarikat dan menjalani perbicaraan pada tahun 1998. Ng dijatuhkan hukuman penjara sampai mati atas 12 kes pembunuhan di Penjara San Quentin.
#8 John Wayne Gacy
John Wayne Gacy telah membuat serangan seksual dan membunuh 33 orang lelaki muda dan remaja lelaki dalam satu siri pembunuhan kejam antara tahun 1972 hingga 1978 di Chicago. Dia akan memancing mangsa datang ke rumah dengan menjanjikan wang atau pekerjaan sebelum membunuh mereka dengan mencekik menggunakan torniquet.
26 mangsa telah ditanam di dalam ruang di bawah rumahnya dan mayat selebihnya dibuang ke dalam Sungai Des Plaines. John telah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun sebelum dihukum mati menggunakan suntikan maut pada tahun 1994.
#7 Andrei Chikatilo
Andrei Chikatilo merupakan seorang pembunuh bersiri dari Soviet yang mempunyai gelaran The Butcher of Rostov. Dia telah membuat serangan seksual, membunuh dan mencacatkan sekurang-kurangnya 52 wanita dan kanak-kanak di Rusia antara 1978 sehingga 1990. Setelah ditangkap, Andrei mengaku melakukan sejumlah 56 pembunuhan dan 53 daripadanya dibicarakan di mahkamah.
Ramai ahli keluarga mangsa membuat permohonan kepada pihak berkuasa supaya membebaskan Andrei agar mereka dapat membunuh Andrei dengan tangan sendiri. Namun, Andrei tetap dipenjarakan sebelum dihukum bunuh oleh pasukan penembak pada tahun 1994.
#6 Tommy Lynn Sells
Tommy Lynn Sells telah mengaku membunuh sekurang-kurangnya 70 orang mangsa antara tahun 1985 hingga 1999, menjadikan dia salah seorang pembunuh paling berbahaya di Texas. Pembunuhan yang dilakukan amat sadis, antaranya menikam seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sebanyak 16 kali.
Tommy diberkas pihak berkuasa selepas menceroboh masuk ke dalam bilik seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dan menikamnya dan ditinggalkan. Namun, kanak-kanak itu tidak mati dan berjaya menghubungi jiran mereka. Kanak-kanak itu telah memberikan gambaran secara jelas mengenai Tommy yang membawa kepada penahanannya. Tommy kini masih dipenjarakan di sebuah penjara berkeselamatan tinggi di Livingston, Texas dan akhirnya akan menjalani hukuman mati.
#5 Gary Ridgway
Pada tahun 2001, Gary Ridgway telah ditangkap untuk 4 kes pembunuhan namun dia mengaku bahawa dia telah membunuh sekurang-kurangnya 70 orang wanita di seluruh Washington sekitar tahun 80-an dan 90-an. Dia telah diselamatkan daripada hukuman mati dengan memberikan maklumat jelas berkaitan setiap pembunuhan dan membawa pihak polis ke tapak pelupusan mayat setiap mangsa. 5 orang mangsa telah dicampakkan ke dalam Sungai Green yang telah menyebabkan Gary menerima julukan "The Green River Killer."
Gary telah disabitkan kesalahan ke atas 49 pembunuhan dan menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.
#4 Pedro Rodrigues Filho
Pembunuh dari Brazil ini telah ditangkap pada tahun 1973 dan disabitkan kesalahan pada tahun 2003 atas kesalahan membunuh sekurang-kurangnya 71 orang. Pedro Rodrigues Filho telah dijatuhkan hukuman penjara selama 128 tahun walaupun sistem undang-undang Brazil tidak membenarkan sesiapa ditahan melebihi 30 tahun.
Pedro mula membunuh seawal usia 14 tahun di mana dia telah membuar beberapa kes pecah masuk rumah dan membunuh pengedar dadah tempatan. Pada usia 18 tahun, Pedro telah membunuh 10 orang mangsa. Semasa dipenjarakan, Pedro telah mengambil nyawa ayahnya sendiri yang juga merupakan salah seorang banduan di situ. Kemudian, dia telah membunuh 47 orang lagi banduan secara beterusan. Kes-kes pembunuhan berganda ini menyebabkan hukuman penjara Pedro ditambah sehingga menjadi 400 tahun.
#3 Daniel Camargo Barbosa
Daniel Camargo Barbosa ialah seorang pembunuh bersiri yang telah melakukan serangan seksual dan membunuh lebih 150 orang gadis remaja di Colombia dan Ecuador pada tahun 70-an dan 80-an. Setelah melarikan diri dari penjara di Colombia, Daniel mengaku telah membunuh lagi 72 orang remaja perempuan sepanjang tempoh melarikan diri.
Daniel ditahan semula di Quito dan membawa pihak polis ke tempat pembuangan mayat yang belum ditemui. Dia disabitkan kesalahan pada tahun 1989 dan dipenjarakan selama 16 tahun, iaitu tempoh maksimum penjara di Ecuador. Namun, pada tahun 1994, Daniel telah dibunuh oleh seorang banduan yang merupakan sepupu kepada salah seorang mangsa pembunuhan Daniel.
#2 Pedro Alonso López
Pedro Alonso López merupakan seorang pembunuh bersiri kejam dari Colombia yang telah membunuh lebih 300 orang gadis di seluruh Amerika Selatan. Dia menggoda dengan menarik mereka ke kawasan sunyi atau ke dalam bangunan terbengkalai sebelum membuat serangan seksual sebelum mencekik mereka sehingga mati. Pedro ditahan selepas salah satu cubaan menculiknya gagal dan dia terperangkap dengan peniaga pasar.
Dia mengaku membunuh lebih 300 mangsa namun pihak polis hanya mempercayai kata-kata Pedro setelah sebuah kejadian banjir kilat mendedahkan satu kubur ramai yang tersimpan mayat-mayat mangsa. Akhirnya, 53 lagi mayat dijumpai. Pedro disabitkan kesalahan dan dihukum penjara di Ecuador selama 18 tahun sebelum dihantar ke penjara Colombia dan dipenjarakan seumur hidup.
#1 Dr. Harold Fredrick Shipman
Dr. Harold Fredrick Shipman merupakan seorang doktor berbangsa Inggeris dan merupakan seorang pembunuh bersiri dengan bilangan kes antara yang paling tinggi dalam sejarah dunia. Dia telah bertanggungjawab membunuh sehingga 250 orang mangsa.
Sebagai seorang doktor yang dipercayai, Dr. Harold menjadi tokoh yang disegani dalam masyarakat. Namun rakan sekerjanya serta pengurus mayat mula mempersoalkan angka kematian yang tinggi di kawasan itu dan bilangan pembakaran mayat wanita warga emas yang ditandatangan balas oleh Dr. Harold.
Beberapa mayat kemudian telah digali semula dan melalui proses post mortem. Ujian post mortem mendapati kesemua mayat mempunyai kandungan diamorphine dalam sistem badan. Rupa-rupanya Dr. Harold telah menyuntik dos merbahaya yang boleh membawa maut dengan sengaja ke dalam badan pesakit sehingga menyebabkan kematian. Dia kemudian telah membuat dokumen palsu wasiat untuk mendapatkan harta mereka dan mengesahkan pembakaran mayat untuk menghapuskan bukti.
Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebanyak 15 kali berturut-turut dan mengesyorkan agar Dr. Harold tidak dibebaskan. Walau bagaimanapun, Dr. Harold telah membunuh diri dengan tali gantung pada tahun 2004 dalam sel penjaranya di Penjara Wakefield.
Menakutkan kan? Yang mana satu anda rasa paling kejam?