Dalam kesibukan netizen memperkatakan tentang keputusan SPM yang baru diumumkan, anak dramatis Noniswara tidak terkecuali dan antara yang mampu tersenyum menerima sijil keputusan.
Memperoleh 9A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Pendidikan Islam, Erysha yang juga anak kepada Noniswara Baharudin dikhabarkan bakal menerima hadiah berupa Mini Cooper daripada bapanya.
Menurut Nonis, anaknya yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki itu merupakan seorang yang berdisiplin dalam bidang akademik.
Alhamdulillah, semestinya sebagai ibu, saya berbangga, sebak dan gembira. Tiada kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan kegembiraan ini melihatkan kejayaan seorang anak. Erysha anak yang berdisiplin dalam akademik. Saya tidak perlu bersusah payah hendak memaksanya, sebaliknya dia sendiri tahu apa yang perlu dibuat. Jujurnya, bukan dia seorang saja, anak-anak saya yang lain juga begitu. Setakat ini, Daddy dia yang sudah berjanji untuk membelikan kereta Mini Cooper untuk Erysha jika dia cemerlang dalam SPM. Cuma, setakat ini dia belum lagi meminta apa-apa hadiah daripada saya.
Tambah Nonis lagi, Erysha bakal menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan di universiti tempatan sebelum melanjutkan pengajian ke United Kingdom.
Selain Erysha, dua lagi anak Noniswara adalah Naveer Mihshon Zakaria, 22 dan Nazeer Danish, 10.