Seorang lelaki merakam perbuatannya membunuh diri dan anaknya melalui Facebook Live.
BANGKOK - THAILAND. Seorang lelaki bertindak merakam perbuatannya membunuh anak serta diri sendiri melalui FB Live, lapor AFP
Polis di pulau peranginan selatan itu berkata, pihak polis dimaklumkan
berhubung video berkenaan oleh rakan-rakan lelaki itu dan bergegas ke
hotel terbiar berhampiran lapangan terbang antarabangsa pada petang
Isnin.
"Mereka telah mati ketika saya tiba di sana," kata Leftenan Jullaus
Suvannin, individu pertama yang tiba di tempat kejadian memberitahu AFP.
Menurut Jullaus, telefon pintar lelaki berkenaan turut ditemui disandar pada dinding.
Polis berkata, mereka percaya lelaki berkenaan telah bertengkar dengan
ibu kanak-kanak yang berusia 11 bulan itu sebelum bertindak menggantung
diri sendiri serta anak perempuannya.
Saluran 3 menyiarkan rakaman ibu bayi berkenaan dilihat bersama ahli
keluarga menuntut kedua-dua mayat di hospital tempatan pada Selasa.
Facebook tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung insiden berkenaan.
Pemilik Facebook, Mark Zuckerberg sebelum ini berikrar untuk memastikan
rangkaian sosial terkemuka dunia itu tidak digunakan untuk menyebarkan
perbuatan mengerikan seperti pembunuhan dan bunuh diri.
Sementara itu, Gabenor Phuket menggesa rakyat Thailand supaya tidak
berkongsi rakaman pembunuhan berdurasi empat minit tersebut yang masih
boleh didapati di rangkaian sosial pada Selasa.