Air mata Yusof Haslam menitis kerana Desolasi



Bukan mudah memuaskan hati seorang bapa yang kuat mengkritik namun pengarah Syafiq Yusof tidak mahu mengalah.
Tindakan itu akhirnya membuahkan hasil apabila si bapa yang juga pengarah terkenal menumpahkan air mata melihat cerita dan hasil Desolasi.
Desolasi - karya kelima dan terbaru dihasilkan Syafiq - terlebih dahulu perlu mendapat ‘restu’ daripada bapanya Datuk Yusof Haslam sebelum ia boleh dipersembahkan kepada umum.
Kata pengarah muda itu, pada awalnya Yusof hampir-hampir menolak naskah itu daripada ditayangkan kerana berpendapat ada unsur yang boleh merosakkan akidah Islam.
“Di awal tontonan, bapa mula bertanyakan itu ini, mengapa saya menghasilkan filem yang boleh menyebabkan seorang Islam murtad.
“Katanya, cerita dipaparkan mempersoalkan Tuhan, tetapi saya memberitahunya supaya bertenang dan tunggu hingga filem itu habis,” katanya.
Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Mohd Yusof, 23, ditemui pada sidang media sempena tayangan filem Desolasi di Petaling Jaya kelmarin.
Hubungan anak, bapa
Filem dengan genre drama dan Islamik dengan peruntukan RM4 juta untuk kesan khas imej janaan komputer (CGI) baru siap penggambarannya bulan lalu dan dijadual menemui penonton pada 8 Disember depan.
Memulakan karier ketika usianya mencecah 18 tahun, nama Syafiq sebagai pengarah tidak asing lagi dalam industri perfileman tanah air dengan naskhah seperti Sam: Saya Amat Mencintaimu (2012), Abang Long Fadil (2014), Villa Nabila (2015) dan Mat Moto (2016).
Menurutnya, buat kali pertama Desolasi yang menampilkan abangnya, Syamsul, sebagai pemegang watak utama (Aiman), ia tidak mendapat sebarang kritikan daripada bapa mereka.
Desolasi menjadi filem pertama tidak dikritik oleh bapa dan melihat pada wajahnya, saya tahu dia menyukai filem ini.
“Tambahan pula, dia tidak menyuruh saya membuat sebarang perubahan ke atas filem berkenaan.
“Tapi dia masih seperti dirinya yang selalu, untuk mendengar dia memuji sesuatu filem itu sebagai benar-benar digemarinya memang amat sukar,” katanya.
Menceritakan asal-usul Desolasi Syafiq berkata dia mengambil contoh hubungan kekeluargaan yang terjalin antara dia dan bapanya dan mengembangkan idea berkenaan menjadi sebuah cerita.
Katanya, bekerja di bawah syarikat dinaungi bapanya yang menjadi pemilik Skop Productions Sdn Bhd itu kadang-kadang menimbulkan ketidakserasian.
“Saya dan abang bekerja dengan ayah dan perbalahan untuk mencari jalan penyelesaian itu ada kalanya tidak dapat dielakkan.
"Desolasi banyak berkaitan dengan hubungan antara kami,” katanya.
Pasangan Syamsul sebagai pelakon utama wanita dalam filem itu ialah Bella Daly yang membawa watak Maya.