Lan Pet Pet tidak mahu manusia sesat dalam ketawa, “Ini pesanan saya, sesiapa yang masih ada emak, tolonglah jaga emak. Doa emak itu sempurna…”
BAGAIMANA Lan Pet Pet bermula sebagai pelawak? Dari mana datang bakat berlawak itu?
Waktu kecil, saya pandai buat bunyi trompet. Pet pet pet pet! Biasanya orang guna daun, guna straw tetapi saya hanya guna tangan. Apabila dapat bunyi, saya tone melodi. Abang saya bekerja dalam band polis, mengajar saya menyelaraskan bunyi dengan tiga asas; high, medium dan low. Lagu pertama yang saya bawa ketika buat show, lagu 'Hawaii Five-O'. Kemudian saya belajar pula lagu 'Kasih'.Pada tahun 1994, saya menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan dan mendapat tempat kedua. Sebelum itu saya berjanji dengan emak, menang atau kalah, saya hendak buat kenduri untuk anak yatim. Saya ke KL bukan untuk glamor tapi semata-mata mahu cari kerja.
Saya pernah buat macam-macam kerja. Ikut orang tarik kereta, pasang kabel, pecah rumah, hahaha, buat rumah, pecah rumahlah tu, pang pang pang! Kemudian saya jadi technician buat tangki antiseptik di Langkawi.
Bagaimana terdetik masuk 'Sinaran Pasport Kegemilangan'?
Kecil-kecil dahulu jika ada program bakat di sekolah, memang saya sapu habis. Saya minat menari sampai karpet di rumah emak koyak. Marah emak, “Hang menari sampai koyak karpet aku, beli mahai ni, bayaq bulan-bulan. Duit Benggali pun tak habih bayaq lagi.”
Saya balas, “Takpa mak, nanti kalau chek ada rezeki, chek ganti karpet mak.”
Saya berjanji dengan emak, saya datang ke KL bukan untuk cari glamor tetapi semata-mata mencari rezeki. Saya pegang itu hingga hari ini. Mana-mana kawan rapat yang tahu perangai gila-gila saya, akan kata, “Lan Pet Pet memang begitu, dia memang natural.” Kalau ada Kak Rubi, dia boleh jelaskan lagi, katanya, “Abang Lan memang natural life.”
Kalau muzik bergema dan ada bunyi trompet, itu tandanya saya sedang berseronok.
Bagaimana kumpulan Senario terbentuk? Lan Pet Pet sebelum itu solo. Azlee juga solo. Sementara Wahid, Ilya dan Hamdan satu kumpulan. Bagaimana terbentuknya 'chemistry' dalam kumpulan?
Akhir tahun 1995, TV3 memanggil kami menjadi staf TV3. Dalam hal ini, kami harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kak Zah (Azizah Mohamad). Beliau panggil kami duduk sekali, bersembang, bersuai kenal dan berbincang.
Dari situ, kami buat show di Minggu Setiausaha. Nik Ramzi kata, kami boleh buat satu program. Tan Guat Eyu ambil tugas itu dan membuat program tiga episod pengenalan, iaitu 'Senario Rajin Adik Rajin', 'Umar Asmara', 'Jejak Kasihan' dan kemudian bersambung-sambung terus.
Pernah rasa rimas dan tertekan dengan populariti yang diraih?
Memang tak senang duduk, ke mana-mana pergi, orang ambil gambar. Pernah suatu ketika, seorang budak kecil datang dan pukul belakang saya dengan kayu. Masa itu, rasa macam nak tumbuk balik.Apabila balik berbincang dengan kawan- kawan, “Kenapa budak yang minat kita, pukul kita?” Oh! Saya mengerti, “Orang minat tapi nak pegang tak boleh. Tapi apabila terlalu minat, aku tumbuklah hang sebab hang bagi aku gelak!”
Banyak anak yang sudah besar, apabila berjumpa saya berkata, “Abang Lan, saya membesar dengan Senario. Banyak ilmu saya dapat.”
Dahulu, banyak orang tolong kami, antaranya Sarjan Jamil, dialah coach kami dan kami ikut sahaja arahannya.
Sukarkah hendak mempertahankan populariti?
Saya tak berfikir hendak glamor. Saya fikir diri saya tidak punya apa-apa. Sebab saya ingat janji dengan mak ketika saya keluar dari rumah untuk ke KL, iaitu saya hanya hendak cari makan.Sebelum saya menyertai 'Senario', saya sudah popular di kampung. Di mana-mana sahaja, orang panggil saya Lan Pet Pet. Saya pernah wakafkan basikal saya kepada sesiapa yang hendak guna. Saya ke pekan dan tinggalkan basikal, sesiapa hendak guna, gunalah. Mak saya nampak orang naik basikal saya, dia hairan, “Laa, itu basikal Lan!”
Memanglah basikal Lan. Lan wakafkan, tapi apabila habis waktu kerja, basikal itu ada di tempatnya. Di kampung dalam hal menolong orang, memang saya suka. Sejak kecil hingga besar, saya memang tidak suka tengok orang berada dalam keadaan stres.
Menjadi seorang pelawak, bermakna privacy sudah tiada. Berbaloikah mengorbankan 'privacy'?
Seperti saya katakan, janji saya dengan emak, saya ke KL semata-mata untuk cari kerja. Di balik semua itu, hidup saya sampailah mati, saya mahu berjasa dengan orang. Arwah pak pernah kata, “Bagus. Sampai hari ini aku tau hang berjasa. Banyak jasa hang buat, hanya orang tertentu yang tau. Apa pun hang 'maintain' diri macam ni.”
Ustaz juga kata, hidup mesti seimbang, jangan hambat sana sini. Antara diri kita, orang, hidup sendiri, keluarga, masyarakat, makan, kewangan, kesihatan, semua itu kena jaga.
Saya amat berterima kasih pada Datuk Fadzilah Kamsah dan Ustaz Zawawi Yusoh yang banyak membantu saya. Kata Ustaz Zawawi, “Saya suka cara Lan bercakap. Lan punya cara macam Ustaz Daud Che Ngah. Dahulu dalam program agama RTM, saya suka Ustaz Daud.” Betulkah saya macam Ustaz Daud? Saya tonton YouTube, “Ehhh, yalah!”
Kita ini ramai pemerhati. Saya tidak tahu sama ada cara saya disukai orang atau tidak. Saya minta ampun maaf jika ada mana-mana yang tidak kena. Saya tak sempurna. Saya ucapkan terima kasih kepada media cetak dan elektronik kerana menjadikan 'Senario' kumpulan lawak nombor satu. Memang banyak ilmu yang kita dapat apabila kita berjumpa ramai orang. Ambil ilmu saja, tapi jangan ambil kesempatan.
Pak pernah pesan, “Jangan ambil kesempatan walaupun hang ada nama. Jangan pi minta sponsor sesuka hati.”
Saya tak buat begitu, saya tak reti pun. Memang ada yang minta saya jumpa orang yang saya rapat untuk dapatkan tandatangan, dengan janji akan berikan saya RM2 juta. Saya beritahu isteri, kalau saya buat begitu, hubungan saya dengan orang yang saya rapat itu akan habis.
Saya orang kampung, orang susah, saya tak reti ambil kesempatan. Orang tua kata jangan lupa diri. Apa pun, syukur alhamdulillah. Kita bagi orang puas hati, kita jaga hati orang.
Apa lagi tentang dunia hiburan yang Lan ingin kongsikan?
Seorang magician memerlukan latihan. Komedian juga sama tapi komedian tak boleh lakukan lawak sama berulang kali. Komedian spontan. Komedian mesti berilmu. Komedian sejenis art. Tapi kita orang Islam, dalam buat apa-apa sign, dialog dan lain-lain, perlu ciri-ciri Islamik. Mesti ada homework. Kita berkhidmat kepada orang dengan cara terbaik.
Saya teringat, begitulah arwah bapak saya. Orang datang rumah, kadang-kadang semata-mata mahu minum kopi dengan dia. Apabila saya balik kampung, emak sediakan air kopi sebaldi besar untuk peminat datang bersembang.
Sampai sekarang, apabila balik kampung, budak-budak tunggu depan rumah. Mereka panggil, “Pak Su Lan, nak tangkap gambaq." Budak luar panggil saya Abang Lan. Jadi, kami tahulah sama ada yang datang itu anak orang luar atau orang situ.
Saya juga masih ingat, ketika menyertai audition di Komtar dahulu, ada seorang kakak ini berkata kepada saya, “Tak lama lagi hang akan jadi popular.”
Kakak ini ada anak ramai, mungkin tujuh atau lapan orang. Saya tidak tahu di mana dia sekarang, mungkin anak-anaknya pun sudah besar. Saya teringin sekali hendak bertemu dia.
Masa emak mengandungkan saya, kawannya Bidan Tuk Siah, menyuruh emak letakkan nama Mazlan. Katanya, “Budak ini akan terkenal satu Malaysia.” Jadi, nama itu emak berikan kepada saya. Ketika bantu Ustaz Zawawi membawa jemaah umrah, orang panggil saya Haji Pet Pet. Di dalam bas, apabila siap berpakaian ihram, saya tidak buat lawak. Saya tidak mahu melalaikan orang. Tapi Ustaz Zawawi beritahu, ada jemaah yang letih selepas mengerjakan umrah, apabila melihat saya masuk ke dewan makan, buat mereka bersemangat semula.
Pada saya, yang penting, sebagai penyampai jangan melalaikan. Gelak ketawa hanya sebagai halwa, ubat mengantuk tapi jangan melalaikan.