KUALA LUMPUR: Mohd Faiz Subri mencipta sejarah buat negara dan Asia, apabila mengesahkan tempat dalam senarai tiga calon utama untuk merebut Anugerah Puskas, yang diumumkan sebentar tadi. Selepas lebih seminggu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiarkan senarai rasmi tiga calon terakhir daripada 10 senarai awal yang mendapat undian tertinggi peminat dari seluruh dunia. Turut tersenarai ialah Marlone dari Brazil dan satu-satunya wanita, Daniuska RodrÃguez dari Venezuela. Selain Mohd Faiz dan Marlone yang disebut-sebut sebagai calon utama, nama Daniuska sebelum ini tidak banyak mendapat maklum balas positif pelayar laman video YouTube yang menjadi pentas untuk menilai calon. Tumpuan lebih terarah kepada dua bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar, berdasarkan populariti mereka.
Dua wakil Sepanyol, Mario Gaspar dan Saul Niguez juga tidak tersenarai selain Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Hal Robson-Kanu (Wales) dan Simon Skrabb (Finland). FIFA dalam laman sesawang rasminya www.fifa.com berkata, tiga calon Anugerah Puskas FIFA sudah diumumkan, dengan peminat memilih tiga jaringan cantik daripada 10 calon awal untuk ke pusingan undian terakhir yang kini dibuka. Menerusi artikel dikeluarkan FIFA, Mohd Faiz dilabelkan sebagai pencipta sejarah, sebagai calon pertama Puskas dari Malaysia tercalon ke final menerusi sepakan percuma ajaibnya. Menurut artikel itu juga, Brazil meneruskan sejarah untuk menghantar calon ke pusingan akhir menerusi jaringan akrobatik Marlone, manakala pemain Venezuela, Rodriguez mengulangi penampilan Stephanie Roche pada 2014, yang mewakili wanita dalam senarai akhir. Peminat dari seluruh dunia kata artikel berkenaan kini memiliki peluang untuk sekali lagi mengundi calon pilihan mereka dengan undian untuk pusingan kedua akan dicampur undian pusingan pertama untuk menentukan juara sebenar. Pemenang akan menerima anugerah berkenaan pada majlis anjuran FIFA di Zurich pada 9 Januari.